JENAYAH & MAHKAMAH

Ibu bapa angkat direman bantu siasatan kes kematian bayi 7 bulan

KUALA LUMPUR – Polis menahan reman ibu bapa angkat kepada seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dengan kesan lebam dan kulit kebiruan di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 38 dan 50 tahun direman sehingga 6 Ogos depan.

Beliau memberitahu, siasatan mendapati ibu kandung bayi berkenaan dipercayai berasal dari Indonesia dan bayi itu dipercayai berada di bawah jagaan ibu bapa angkatnya sejak 18 Jun.

“Menurut suspek, bayi berkenaan diserahkan kepada mereka sebelum ibu kandungnya pulang ke Indonesia,” kata Usuf.

“Kami kini menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui dengan lebih jelas punca kematian bayi tersebut.”

Tambahnya, kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Laporan media sebelum ini menyebut mengenai penemuan bayi perempuan yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, malam tadi.

Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki pada jam 9.34 malam yang memaklumkan anak angkat perempuannya ditemui tidak sedarkan diri di kediaman mereka atas sebab yang tidak diketahui.

Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati bayi tersebut terbaring di ruang tamu dengan kesan lebam dan kulit kebiruan yang jelas kelihatan.

Susulan penemuan itu, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mendera kanak-kanak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button