SPRM tahan Albert Tei – Peguam
KUALA LUMPUR Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu kediaman Albert Tei dan menahan ahli perniagaan tersebut.
Peguamnya, Zaid Malek dalam satu kenyataan mendakwa, pegawai SPRM dan polis di rumah Tei tidak membenarkannya bertemu dengan anak guamnya.
Beliau turut berkongsi sebuah video yang menunjukkan Tei dibawa keluar oleh anggota bersenjata yang memakai balaklava dan vest SPRM.
Zaid dalam kenyataan tersebut berkata, hak anak guamnya untuk mendapatkan khidmat peguam telah dinafikan dan perkara itu merupakan pelanggaran hak Tei di bawah Perlembagaan untuk proses undang-undang yang sewajarnya.
Tei adalah salah seorang daripada tiga individu yang dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung klip video yang memaparkan perbualannya dengan seorang wanita, Sofia Rini Buyong.
Rini dipercayai masih memberi keterangan kepada badan pencegahan rasuah itu setelah tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.
Seorang lagi individu yang dijadualkan untuk dirakam keterangannya hari ini ialah bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Difahamkan, Shamsul pada mulanya dijadualkan hadir lebih awal, namun tidak sempat pulang tepat pada masanya kerana berada di Sabah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







