Polis kenal pasti motif awal pembunuhan pelajar IPTS di Bandar Sunway
SHAH ALAM – Polis mengenal pasti isu peribadi membabitkan perasaan dan perbelanjaan harian sebagai antara motif awal kes pembunuhan seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga warga asing mengenali suspek dan kedua-duanya menjalinkan hubungan.
“Setakat ini, kita percaya dia (suspek yang ditahan) adalah suspek utama yang terlibat serta tidak ada penglibatan suspek-suspek lain.
“Namun, kita tidak boleh menutup ruang-ruang sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, pemeriksaan awal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat beberapa siri kecederaan pada badan mangsa.
“Namun, saya tidak boleh memberikan ulasan (lanjut) kerana bedah siasat akan dilakukan pada hari ini,” katanya lagi.
Difahamkan, suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an direman tujuh hari sehingga 30 Jun ini untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.03 pagi semalam selepas penuntut wanita IPTS terbabit ditemui maut dengan kesan kecederaan pada badan dan disyaki dibunuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






