Tiga bom mortar ditemukan di Dengkil sudah dimusnahkan
SEPANG – Polis memusnahkan tiga bom mortar yang ditemukan di dalam sebuah tong roro di kawasan luar rumah di Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner, Norhizam Bahaman berkata, bom berkenaan dimusnahkan kira-kira jam 9.20 pagi oleh Unit Pemusnah Bom (UPB ) di sebuah tapak lapang pembinaan di Dengkil.
Katanya, kerja pemusnahan selesai pada jam 9.25 pagi dalam keadaan selamat dan terkawal, tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh, mengalih atau menghampiri sebarang objek yang disyaki bahan letupan dan segera menghubungi pihak polis sekiranya menemui objek sedemikian,” katanya memetik laporan BH Online.
Semalam, Malaysia Tribune melaporkan penemuan tiga bom mortar yang ditemukan dalam sebuah tong roro di luar sebuah rumah di Kampung Dato Ahmad Razali.
Penemuan kira-kira 3 petang itu disedari seorang lelaki ketika mengasingkan barangan besi buruk dari tong berkenaan sebelum memaklumkannya kepada polis.
Norhizam berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi dan kawalan keselamatan dilakukan bagi memastikan keselamatan orang awam.
Menurutnya, UPB turut hadir bagi menjalankan pemeriksaan, sebelum mengalihkan bom itu ke lokasi selamat untuk tindakan pemusnahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








