BERITA SEMASA

Ahli Parlimen PJ letak jawatan: Peruntukan terus disalur – Fahmi Fadzil

SHAH ALAM – Peruntukan kerajaan kepada penduduk Parlimen Petaling Jaya akan terus disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) meskipun berlaku kekosongan kerusi Parlimen berikutan peletakan jawatan Lee Chean Chung.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penduduk di kawasan berkenaan tidak perlu bimbang kerana permohonan bantuan dan sumbangan masih boleh dikemukakan kepada ICU Selangor seperti biasa.

Katanya, khidmat kepada penduduk Petaling Jaya akan terus diselaraskan dengan penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua cabang dan ahli majlis di kawasan berkenaan.

“Jadi tidak perlu risau susulan peletakan jawatan (Chean Chung),” katanya selepas Program MADANI Kita Bersama-Sama Komuniti Kota Anggerik, di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan kebajikan dan keperluan penduduk Petaling Jaya terus diberi perhatian walaupun berlaku perubahan di peringkat wakil rakyat.

Sementara itu, Fahmi berkata, Chean Chung sudah lama tidak menghadiri mesyuarat serta kongres yang dianjurkan PKR.

“Seperti yang Datuk Seri Anwar Ibrahim katakan semalam, beliau memang sudah lama tidak hadir dalam mesyuarat parti.

“Kita hormati keputusan Chean Chung dan ucap selamat berjaya kepadanya,” katanya.

Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa semalam, selepas keahliannya dalam PKR digantung selama tiga tahun.

Beliau sebelum ini turut memaklumkan Pusat Khidmat Parlimen Petaling Jaya akan terus beroperasi seperti biasa bagi membantu penduduk setempat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button