Bau busuk bawa kepada penemuan jasad reput dibungkus dalam tilam
MELAKA – Bau busuk daripada sebuah rumah yang mahu disewakan di Kampung Padang, Pokok Mangga semalam, membawa kepada penemuan jasad reput dengan keadaan tangan diikat dan dibungkus dengan tilam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kir-kira pukul 7 malam daripada wanita pemilik rumah yang datang memeriksa keadaan premis itu untuk disewakan kepada penyewa baharu.
Apabila tiba di rumah berkenaan, pengadu terhidu bau busuk dan melihat ada bungkusan yang mencurigakan di ruang tamu rumah lalu menghubungi polis.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan di lokasi dan menemukan satu jasd berbungkus dengan tilam.
“Setakat ini identiti dan jantina mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat sudah reput.
“Kita percaya mangsa meninggal dunia lebih dua minggu hingga sebulan lalu. Mangsa juga ditemukan dengan tangan diikat dan dibungkus dalam lipatan tilam,” katanya selepas hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, di sini hari ini.
Dzulkhairi menambah, hasil siasatan awal mendapati, terdapat unsur pembunuhan berdasarkan keadaan di tempat kejadian.
“Susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa bagi membantu siasatan. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau,” katanya.
Sebelum ini, rumah tersebut disewa seorang wanita sebelum dihuni anak lelakinya yang juga suspek.
“Ketika ditahan suspek masih dalam keadaan khayal dan belum dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis. Siasatan lanjut sedang dijalankan dari segenap aspek termasuk mengenal pasti motif kejadian dan hubungan mangsa dengan suspek,” katanya.
Suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















