BERITA SEMASA

Penutupan operasi Panasonic, kerajaan negeri atur pertemuan pekerja terjejas minggu depan

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor akan bertemu pekerja yang terjejas susulan penutupan operasi pengeluaran televisyen di Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd (PAVCKM), minggu depan bagi membincangkan bantuan serta peluang pekerjaan alternatif.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari , pertemuan itu akan dikendalikan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asli dan Kaum India negeri, V. Papparaidu, bersama wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai situasi dihadapi mereka.

“Minggu depan, Papparaidu akan bertemu kumpulan yang terjejas bagi meneliti dan menawarkan bantuan yang diperlukan, khususnya apabila kilang mereka berdepan kemungkinan ditutup.

“Langkah intervensi awal seperti pemberian bakul makanan sudah tentu akan dilaksanakan, namun kita juga akan membantu mereka mendapatkan pekerjaan alternatif supaya mereka dapat meneruskan kehidupan yang telah dibina selama bertahun-tahun di negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program Selangor Mega Jobcare 2026, di sini hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic) mengumumkan pemberhentian operasi pengeluaran bagi dua produk keluarannya, sekali gus menjejaskan 400 pekerja menjelang akhir Mac tahun depan.

Sementara itu, Papparaidu berkata, kerjasama dengan PERKESO membolehkan agensi itu menyediakan perlindungan kewangan dan bantuan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan susulan pemberhentian yang dijangka berlaku.

“Perkara paling penting ialah PERKESO menyediakan skim insurans di mana sekiranya mereka diberhentikan dan masih belum mendapat pekerjaan, mereka akan menerima bayaran secara berperingkat.

“Ia berfungsi sebagai elaun mencari pekerjaan, bermula dengan 80 peratus daripada gaji mereka pada bulan pertama, 50 peratus pada bulan kedua dan seterusnya 30 peratus.

“Ini merupakan inisiatif PERKESO yang banyak membantu rakyat, khususnya penduduk Selangor yang berdepan pemberhentian kerja. Saya berharap kita dapat melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Selangor Mega Jobcare 2026 menghimpunkan 147 majikan yang menawarkan lebih 11,000 kekosongan pekerjaan, dengan 62.2 peratus daripadanya menawarkan gaji bulanan melebihi RM3,000.

Karnival kerjaya yang dianjurkan dengan kerjasama MYFutureJobs itu terbuka kepada peserta berusia antara 18 hingga 60 tahun dan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dari 9 pagi hingga 5 petang, berakhir esok.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button