PMX

PM ucap tahniah kepada AKPS, tegaskan Malaysia tidak jadi laluan dagangan sokong Israel

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan membenarkan negara menjadi laluan kepada dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, tindakan pantas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, membuktikan ketegasan Malaysia dalam perkara itu.

“Tahniah AKPS atas tindakan pantas menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas.

“Tindakan ini membuktikan ketegasan Malaysia untuk memastikan negara kita tidak sekali-kali menjadi laluan kepada dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Ia juga selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Kumpulan The Hague serta larangan yang telah berkuat kuasa sejak Disember 2023 terhadap kapal Israel dan kapal yang membawa muatan ke Israel daripada menggunakan pelabuhan negara.

“Malaysia akan terus berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan, keadilan dan undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan hak serta maruah rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, AKPS menyita sebuah kontena di PTP selepas disyaki membawa dagangan yang akan dieksport ke Israel.

Tindakan itu dilakukan hasil maklumat risikan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap kontena berkenaan.

AKPS dalam satu kenyataan kepada media berkata, semakan awal mendapati penghantaran berkenaan disyaki melanggar Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang melarang pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button