Jawatan menteri amanah, bukan jalan jadi kaya – Fahmi
SHAH ALAM – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil betkata, beliau tidak pernah melihat jawatan menteri sebagai jalan untuk mengumpul kekayaan, sebaliknya sebagai amanah bagi membantu rakyat dan memperbaiki pentadbiran negara.
Menurut beliau, tugas yang dipikul ketika ini adalah untuk membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengurus negara dengan lebih baik serta memastikan setiap dasar kerajaan memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya jadi menteri bukan untuk jadi kaya. Saya masih pakai jam Timex, kasut Converse, baju batik dan saya tidak beli rumah baharu.
“Saya juga tidak kahwin lain,” katanya berseloroh ketika berucap pada Program Madani Kita Bersama-sama Komuniti Kota Anggerik di Dewan Melati, Seksyen 7, di sini hari ini.
Fahmi berkata, perkara yang lebih penting ialah memastikan kementerian yang diterajuinya terus melakukan penambahbaikan supaya rakyat menikmati perkhidmatan yang lebih baik.
Beliau menjelaskan antara fokus utama Kementerian Komunikasi ialah memperluaskan akses internet yang lebih meluas, murah dan selamat kepada rakyat di seluruh negara.
“Kerajaan juga mengambil pendirian tegas supaya pelaksanaan rangkaian 5G tidak membebankan pengguna dengan caj tambahan daripada syarikat telekomunikasi.
“Dulu telco nak caj tambahan untuk 5G, tetapi kita kata tidak. Jangan bebankan rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Selangor antara negeri terawal memperkenalkan perkhidmatan bas percuma kepada rakyat sebelum pendekatan sama diperluaskan ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, pelbagai inisiatif yang berjaya dilaksanakan di peringkat negeri boleh dijadikan contoh kepada pentadbiran lain sekiranya wujud komitmen untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Beliau turut menggesa rakyat terus menyokong kepimpinan Selangor yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari serta barisan Exco dan wakil rakyat negeri bagi memastikan kestabilan pentadbiran dapat diteruskan.
Fahmi turut menegaskan pendiriannya menolak kleptokrasi dan sebarang bentuk penyelewengan yang boleh merugikan rakyat.
“Kita di Selangor menolak kleptokrasi. Jangan kita sayang balik kleptokrat,” katanya lagi.
Menurut beliau, kestabilan pentadbiran dan kepimpinan yang telus amat penting bagi memastikan pembangunan dapat diteruskan serta hasilnya dapat dinikmati seluruh rakyat
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








