POLITIK

ARMADA bukan budak suruhan – Hilman

KUALA LUMPUR – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, Muhammad Hilman Idham berkata, sayap pemuda parti itu tidak boleh lagi dipandang rendah dan sama sekali bukan “budak suruhan” mana-mana pihak.

Berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU 2025, Hilman menekankan bahawa ARMADA adalah kumpulan anak muda merdeka yang memiliki idealisme, keberanian dan pendirian sendiri dalam perjuangan politik tanah air.

Katanya, pemuda BERSATU mesti bebas daripada politik lama yang penuh intrik, hasad dengki dan budaya mengikut telunjuk pihak lain.

“ARMADA adalah anak muda yang merdeka. Semangat dan jiwa kita tak boleh diperhambakan.

“ARMADA bukan budak-budak, apalagi menjadi budak suruhan,” katanya di sini hari ini.

Hilman berkata, ARMADA hari ini tampil sebagai pasukan yang berdisiplin, teguh bersemangat serta bersedia memimpin kemenangan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau mengingatkan bahawa pemuda mesti menjadi penggerak perubahan, bukannya hanya mengikut arahan tanpa hala tuju.

Selain itu, Hilman turut mengkritik kerajaan Madani yang didakwanya flip-flop dan gagal mengutamakan kepentingan rakyat, khususnya anak muda.

Beliau menyentuh isu pendidikan tinggi yang menurutnya semakin mengutamakan pelajar asing berbanding tempatan, dasar perumahan yang lebih berpihak kepada pemaju, serta kelemahan perlindungan sosial terhadap pekerja muda dalam industri gig.

Beliau turut berkata, ARMADA akan memperjuangkan dasar yang lebih adil termasuk cadangan suruhanjaya industri gig lengkap dengan dana perlindungan sosial dan pelaksanaan gaji minimum graduan.

“Langkah itu diyakini mampu mengekang masalah penghijrahan tenaga muda atau brain drain yang semakin serius,” katanya lagi.

Mengakhiri ucapannya, Hilman berkata, ARMADA tidak akan tunduk dengan tekanan politik dan akan terus menjadi barisan hadapan perjuangan rakyat.

“ARMADA akan lawan! Kita akan mara sebagai satu ketumbukan. Yakinlah, rakyat pasti menang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button