BERITA SEMASA

Sekolah Angkat MADANI bukan hanya naik taraf struktur

SERDANG – Program Sekolah Angkat MADANI yang dilancarkan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bukan hanya berasaskan kerja-kerja naik taraf fizikal, sebaliknya merangkumi pendekatan lebih menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan serta ekosistem pembelajaran sekolah.

Sekolah Angkat MADANI bukan hanya naik taraf struktur
Ketua Pengarah JBSN, Azura Abidin bersama pelajar yang berbakat dalam sukan catur pada program hari ini

Ketua Pengarah JBSN, Azura Abidin berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai komitmen kerajaan memastikan aspek keselamatan sekolah tidak dipandang ringan, terutama selepas tragedi pada 2024 yang meragut nyawa seorang murid tahun enam akibat renjatan elektrik di laluan pejalan kaki.

“Program Sekolah Angkat MADANI bukan sekadar membaiki struktur seperti pendawaian dan bumbung. Ia turut meliputi penyediaan aset pendidikan, bimbingan kepada guru dan pelajar serta kerjasama rentas agensi bagi memastikan sokongan sekolah dapat diperkukuh secara berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran di KAFA Integrasi Manbaul Ulum, di sini, hari ini.

Ketua Pengarah JBSN, Puan Azura Abidin
Ketua Pengarah JBSN, Puan Azura Abidin

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM100,000 bagi kerja-kerja naik taraf yang bermula sejak September lalu, melibatkan pembaikan pendawaian elektrik secara menyeluruh, penggantian struktur bumbung rosak dan penyelenggaraan kemudahan asas untuk menjamin keselamatan warga sekolah.

Pelaksanaan program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan, PUSPANITA KBS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta pertubuhan belia setempat.

Azura turut berkata, Program Sekolah Angkat MADANI diyakini mampu menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selamat dan kondusif secara berterusan, selain membantu sekolah yang memerlukan perhatian tambahan melalui penglibatan lebih tersusun pelbagai agensi.

JBSN melaksanakan program itu bersama Kementerian Kewangan sebagai pelaksana utama dasar Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan dan ihsan dalam pembangunan pendidikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button