Majoriti dua pertiga bukan lesen ketepikan Perlembagaan – Ketua Wanita DAP Negeri Sembilan
SEREMBAN – Majoriti dua pertiga yang diperoleh sesebuah kerajaan negeri bukan lesen untuk mengatasi atau mengetepikan peruntukan Perlembagaan.
Ketua Wanita DAP Negeri Sembilan, Nicole Tan berkata, majoriti dua pertiga sememangnya memberikan mandat politik yang kuat kepada kerajaan, namun jumlah kerusi yang dimenangi tidak dengan sendirinya memberikan kuasa tanpa batas.
Menurutnya, kerajaan negeri tetap tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Saya mengambil maklum kenyataan Menteri Besar bahawa kerajaan negeri telah menerima mandat rakyat dengan majoriti lebih dua pertiga.
“Namun, dari sudut perlembagaan, jumlah kerusi yang dimenangi tidak dengan sendirinya memberikan kuasa tanpa batas kepada mana-mana Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan.
Nicole yang juga ADUN Bukit Kepayang
berkata, semakin besar mandat yang diterima, semakin besar tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap tindakan dan keputusan dibuat dalam lingkungan kuasa yang diberikan undang-undang.
Beliau berkata, frasa “mandat lebih dua pertiga” tidak boleh ditafsirkan sebagai kuasa untuk mengatasi atau mengetepikan mana-mana peruntukan perlembagaan.
“Majoriti dua pertiga adalah majoriti dalam Dewan, bukannya kuasa yang mengatasi Perlembagaan.
“Mandat rakyat mesti dihormati, tetapi begitu juga had kuasa yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.
Menurutnya, dalam sistem pemerintahan berperlembagaan, mandat demokratik dan batas kuasa perlu berjalan seiring.
“Mandat memberikan legitimasi demokratik, manakala Perlembagaan menentukan batas kuasa.
“Justeru, apabila merujuk kepada majoriti dua pertiga, persoalan yang lebih penting bukan sekadar berapa banyak kerusi yang dimiliki oleh kerajaan, tetapi apakah kuasa yang benar-benar diberikan oleh Perlembagaan dan undang-undang kepada kerajaan tersebut.
“Itulah prinsip keluhuran undang-undang yang wajib dihormati oleh semua pihak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








