DAP Melaka tarik diri daripada kerajaan negeri bantah RUU ADUN lantikan
MELAKA – DAP Melaka mengumumkan keputusan menarik diri daripada kerajaan negeri hari ini sebagai tanda bantahan terhadap kelulusan pindaan undang-undang yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu dibuat selepas semua ADUN Pakatan Harapan (PH) menolak rang undang-undang berkenaan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk ADUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin yang juga anggota Exco kerajaan negeri.
Menurut beliau, tindakan berkenaan selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen yang menjadi pegangan parti.
“Berpegang kepada prinsip demokrasi berparlimen, kami akan menarik diri daripada kerajaan negeri Melaka.
“Ini kerana sebagai anggota Exco kerajaan negeri, Allex tidak sepatutnya mengundi menentang usul yang dibentangkan oleh kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di DUN Melaka yang disiarkan secara langsung di laman Facebook hari ini.
Poay Tiong berkata, pendirian DAP Melaka kekal konsisten iaitu menolak cadangan pelantikan ADUN lantikan dan parti itu memilih untuk mempertahankan prinsip berkenaan.
Beliau berkata, Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari turut menentang rang undang-undang tersebut ketika persidangan DUN.
Bagaimanapun, Poay Tiong menjelaskan keputusan menarik diri daripada kerajaan negeri tidak bermakna wakil rakyat DAP akan melepaskan jawatan sebagai ADUN.
“DAP Melaka akan melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri, namun wakil rakyat kami akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya lagi.
Terdahulu, DUN Melaka meluluskan pindaan perlembagaan negeri yang membuka laluan kepada pelantikan ADUN lantikan walaupun mendapat tentangan daripada PH.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








