Melaka julang Piala Tun Ali buat kali pertama
MELAKA – Melaka mencipta sejarah tersendiri apabila menjuarai acara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 buat kali pertama selepas menewaskan Kedah 17-14, 15-12 dalam perlawanan akhir edisi keempat yang berlangsung di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, petang tadi.
Kejayaan itu menambah koleksi piala berprestij pasukan bimbingan Khairul Anuar Ibrahim yang sebelum ini menjuarai Piala Emas Khir Johari di Alor Setar pada 2024.
Gandingan mantap tekong Pongsatorn Phong-Udtha, perejam Azlan Alias dan pengumpan Zaim Razali menghadiahkan kemenangan bermakna buat tuan rumah sempena sambutan Hari Keputeraan Yang Dipertua Melaka, Tun Ali Rustam.
Dengan kemenangan itu, Melaka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000, manakala Kedah yang dibarisi Amar Roslan, Loesak Kuram dan Zulhusni Basri terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan ganjaran RM10,000.
Sebelum itu, pencapaian terbaik Melaka hanyalah naib juara regu pada 2022 selepas tewas kepada Johor 17-21, 18-21 ketika itu dibarisi Syahir Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akhbar atau Loesak dan Muqlis Borhan.
Dalam acara kuadran berempat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menepati ramalan apabila menewaskan Perak 17-16, 15-9 dalam perlawanan akhir untuk membawa pulang RM10,000.
ATM yang dibimbing Hasman Che Hamid tampil garang dengan gabungan pemain berpengalaman antarabangsa seperti Afifuddin Razali, Norfaizzul Razak, pemain import India Yumnam Akash serta kapten pasukan Sobri Samsudin.
Perak pula menerima RM5,000 selaku naib juara.
Bagi kategori wanita, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menepati ramalan apabila menjuarai acara regu selepas menundukkan Sabah 15-9, 15-9.
Pasukan yang diketuai Siti Norzubaidah Che Wahab bersama perejam import Thailand Chaweewan Khlongdi turut membawa pulang hadiah RM5,000 manakala Sabah menerima RM3,000.
Perejam Melaka, Azlan Alias meluahkan rasa syukur atas kejayaan manis itu.
Katanya, dalam Piala Tun Ali sebelum ini dia hanya bermain acara beregu dan pencapaian terbaik hanyalah naib juara pada 2022.
Kejuaraan sulung itu menjadi pembakar semangatnya untuk memburu pingat emas Sukan SEA Thailand bersama pasukan negara.
Skuad kebangsaan dijadualkan berlepas ke Ratchaburi, Thailand, bagi siri perlawanan ujian dengan kelab tempatan sebagai persiapan terakhir sebelum temasya Sukan SEA ke-33 di Nakhon Pathom pada 9 hingga 20 Disember ini.
Pemain terbaik bagi kategori tekong pula dimenangi Pongsatorn Phong-Udtha (Melaka), perejam terbaik diberikan kepada Azlan Alias (Melaka), manakala pengumpan terbaik dimenangi Zulhusni Basri dari Kedah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








