BERITA SEMASA

Stesen minyak wakaf pertama negara mula beroperasi di Sungai Merab

KAJANG – Stesen minyak wakaf pertama di negara ini yang dibangunkan di atas tanah wakaf di Sungai Merab, Bangi mula beroperasi hari ini, sekali gus melakar sejarah baharu dalam usaha memperkasa ekonomi Islam berasaskan wakaf.

Projek perintis itu direalisasikan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan dilengkapi kemudahan restoran makanan segera dua tingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, pembangunan stesen minyak berkenaan membuktikan konsep wakaf mampu digerakkan secara progresif dan memberi pulangan berterusan kepada masyarakat.

Menurutnya, stesen minyak itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, selain berperanan sebagai pemangkin kepada pengukuhan ekonomi Islam di Selangor.

“Ini merupakan stesen minyak pertama dibangunkan di atas tanah wakaf di Malaysia.

“Setiap kali pengguna mengisi minyak di sini, secara tidak langsung mereka turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam,” memetik Media Selangor Online.

Anuar berkata, hasil daripada perniagaan stesen minyak itu akan disalurkan kepada Masjid Sungai Ramal Luar, selaras dengan niat pewakaf asal, dengan sehingga 50 peratus hasil diagihkan bergantung kepada jumlah jualan.

Katanya, kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk sekitar Sungai Ramal Luar, Kajang dan Bangi, selain memastikan tanah wakaf dapat dimanfaatkan secara optimum dan berdaya maju.

Beliau menjelaskan, tanah wakaf berkeluasan empat ekar itu menggunakan kira-kira 1.25 ekar bagi pembangunan stesen minyak, manakala baki kawasan akan dibangunkan bagi tujuan komersial lain demi kepentingan komuniti setempat.

Dalam pada itu, PWS merancang untuk membangunkan tiga lagi stesen minyak wakaf di beberapa lokasi strategik di Selangor dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

“Antara lokasi yang telah dikenal pasti ialah Johan Setia dan Jalan Kebun di Klang serta Jalan Reko di Kajang,” katanya lagi.

Tambah beliau, kos pembangunan stesen minyak wakaf pertama itu mencecah kira-kira RM9 juta dan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana wakaf, dengan Petron dipilih sebagai rakan strategik.

“Matlamat utama kami adalah memastikan hasil tanah wakaf ini dapat dikembalikan kepada penerima manfaat secara berterusan dan memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button