BERITA SEMASA

Nahas dihempap lori tangki: Nur Fatima Syuhada, Fattah Aisy selamat dikebumi

TEMERLOH – Jenazah dua beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori tangki di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, Jumaat lalu, selamat dikebumikan hari ini.

Jenazah Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12, dikebumikan dalam dua liang lahad bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Sanggang, kira-kira pukul 2.30 petang.

Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan apabila ratusan ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua mangsa.

saifulnizam
Gambar kenangan Saifulnizam Sulaiman bersama isterinya, Nur Fatima Syuhada Abdullah dan anak mereka, Muhammad Fattah Aisy Naufal. – Foto Ihsan Keluarga

Suami mangsa, Saifulnizam Sulaiman, 39, yang ditemui selepas pengebumian berkata, beliau kini cuba mengumpul semula kekuatan selepas kehilangan isteri dan anak tersayang.

“Rasa kosong sekarang ini, tengah nak kumpul jiwa balik,” luahnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir memberikan sokongan dan mendoakan keluarganya, termasuk mereka yang tidak pernah dikenalinya.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih buat semua, rakyat Malaysia, semua kawan-kawan. Ramai yang tak kenal pun datang (ziarah).

“Terima kasih yang mendoakan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Sebelum itu, kedua-dua jenazah dituntut ahli keluarga di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh pada jam 10 pagi selepas proses pengesahan identiti diselesaikan menerusi perbandingan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bersama waris yang dilakukan di Kuala Lumpur.

Kedua-dua jenazah kemudian menjalani proses tayamum dan dikafankan di Unit Forensik Hoshas sebelum dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Kampung Kuala Sanggang untuk disolatkan.

Saifulnizam yang turut berada di tanah perkuburan dilihat tidak dapat menahan kesedihan selepas selesai pengebumian isteri serta anaknya.

Jumaat lalu, Nur Fatima Syuhada dan anaknya maut dalam nahas melibatkan sebuah lori tangki membawa muatan diesel yang hilang kawalan sebelum menghempap kereta Perodua Bezza yang dipandu, sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button