7 maut, puluhan cedera nahas kereta api di Bekasi
JAKARTA – Sekurang-kurangnya tujuh maut manakala 81 lagi cedera dalam nahas membabitkan dua kereta api yang bertembung di Bekasi, berhampiran Jakarta, awal pagi ini.
Jurucakap Kereta Api Indonesia (KAI), Anna Purba berkata, angka korban dijangka meningkat berikutan operasi menyelamat masih berjalan.
Menurutnya, pasukan penyelamat kini berusaha mengeluarkan dua mangsa yang masih hidup namun terperangkap dalam gerabak yang remuk.
“Setakat ini, tujuh disahkan maut dan 81 lagi cedera,” memetik Kosmo online.
Tinjauan di lokasi kejadian berhampiran Stesen Bekasi Timur mendapati suasana cemas apabila pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa, selain kedengaran jeritan meminta bantuan termasuk bekalan oksigen ketika ambulans beratur panjang.
Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Indonesia, Sufmi Dasco Ahmad berkata, jumlah kematian mungkin meningkat berdasarkan proses pemindahan yang masih diteruskan.
Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri memaklumkan, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta api jarak jauh merempuh gerabak terakhir tren komuter yang dikhaskan untuk wanita.
“Semua mangsa berada dalam tren komuter berkenaan, manakala kira-kira 240 penumpang tren satu lagi berjaya dipindahkan dengan selamat,” katanya lagi.
Menurut pihak berkuasa, perlanggaran itu menyebabkan kerosakan teruk pada beberapa gerabak serta mengakibatkan sejumlah penumpang terperangkap akibat hentaman kuat.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan penggunaan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa dari struktur gerabak yang rosak, sementara siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








