Tidak sempat bertunang, lelaki maut dalam kemalangan
KUALA TERENGGANU – Kegembiraan menanti hari pertunangan bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Duyong, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Shahrin Mohd, 33, yang bekerja sebagai nelayan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan.
Lebih memilukan, majlis pertunangan yang dirancang berlangsung pada hari sama tidak kesampaian.
Bakal tunangnya, Ain Sofea Aminu Nansar, 25, menyifatkan pertemuan mereka pada petang kelmarin sebagai detik terakhir.
Menurut Ain Sofea, dia sempat menghantar sepasang baju untuk dipakai Allahyarham pada majlis istimewa itu namun tidak menyangka pakaian tersebut tidak sempat dipakai.
“Apakan daya, Allah lebih menyayanginya. Semalam saya baru saja hantar baju untuk dia pakai hari ini, tapi tak sangka dia tidak sempat memakainya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Sementara itu, abang mangsa, Mohamad Hafiz Mohd, 36, memaklumkan, terdapat perubahan sikap pada diri adiknya sejak Aidilfitri lalu termasuk keterujaan luar biasa untuk bergambar bersama ahli keluarga.
“Dia yang sebelum ini sukar dipujuk bergambar tiba-tiba beria-ia ajak anak-anak saudara bergambar pada 1 Syawal. Rupa-rupanya itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan kejadian dan memaklumkan pihaknya menerima laporan pada pukul 7.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang di sebelah kiri jalan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cengal, Pulau Duyong pada pukul 5 petang semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








