JENAYAH & MAHKAMAH

Lori Jabatan Perhutanan Perak jatuh gaung, 12 nyaris maut

TAPAH – Sekumpulan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Perak nyaris maut dalam perjalanan pulang sejurus menyiapkan tugasan di Gunung Batu Putih di sini, apabila lori yang mereka naiki terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Gunung Batu Putih–Hutan Lipur Kuala Woh, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, lori dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an membawa 11 penumpang termasuk malim gunung yang baru selesai memasang papan tanda di kawasan gunung berkenaan.

Kemalangan
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya berkata, berdasarkan siasatan awal, insiden dipercayai berlaku ketika hujan lebat dan keadaan jalan yang menurun bukit, sempit serta licin menyebabkan tayar kiri lori tergelincir ke bahu jalan.

“Lori itu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan, berpusing beberapa kali dan terjatuh ke dalam gaung.

“Semua mangsa berjaya keluar dengan bantuan orang awam dan anggota bomba yang tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua 12 mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Johari turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati serta merancang perjalanan dengan baik terutama pada musim tengkujuh bagi mengelakkan risiko kemalangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button