BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tiga diplomat Qatar terkorban dalam kemalangan, Israel nafi mangsa terlibat pelan damai Israel-Hamas

SHARM EL-SHEIKH – Tiga diplomat Qatar maut dalam kemalangan jalan raya hari ini dalam perjalanan menuju ke bandar peranginan Laut Merah Mesir di sini bagi menghadiri sidang kemuncak peringkat tinggi meraikan gencatan senjata dalam peperangan antara Israel dan Hamas di Gaza.

Dua lagi diplomat dilaporkan cedera dalam insiden itu apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbalik kira-kira 50 kilometer dari bandar di penghujung selatan Semenanjung Sinai, menurut pegawai kesihatan tempatan dan Kedutaan Qatar di Mesir.

Dalam satu hantaran di platform X, Kedutaan Qatar memaklumkan bahawa mangsa kemalangan merupakan kakitangan Amiri Diwan, iaitu badan pentadbiran tertinggi kerajaan Qatar.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa dua lagi mangsa cedera dan sedang menerima rawatan perubatan di hospital bandar berkenaan.

Kedutaan Qatar juga menyatakan bahawa jenazah dan mereka yang cedera akan dibawa pulang ke Doha.

Qatar bertindak sebagai pengantara gencatan senjata itu bersama Mesir dan Amerika Syarikat, manakala Turkiye turut menyertai rundingan yang berlangsung awal bulan ini di sini.

Rundingan tersebut menghasilkan persetujuan gencatan senjata serta pembebasan tebusan dan ratusan tahanan Palestin.

Sementara itu, sumber yang dipetik The Times of Israel menafikan laporan yang mendakwa mangsa yang terbunuh adalah pegawai rundingan yang terlibat dalam rancangan pelan damai Israel-Hamas.

Laporan itu menjelaskan bahawa mangsa kemalangan maut di luar Sharm el-Sheikh itu bukan diplomat Qatar yang terlibat dalam rundingan tebusan, sebaliknya merupakan pegawai keselamatan dan protokol Qatar.

Sebelum itu, laporan media Mesir yang mendakwa tiga anggota pasukan rundingan Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al Thani terbunuh dalam kemalangan itu adalah tidak benar.

Dalam pada itu, negara-negara Teluk dan Arab menyampaikan ucapan takziah atas pemergian para pegawai Qatar tersebut.

Arab Saudi melalui Kementerian Luar Negerinya menyatakan solidariti kerajaan dengan keluarga mangsa yang terkorban serta mengucapkan doa agar mereka yang cedera segera sembuh.

Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Bahrain dan Kuwait turut mengeluarkan kenyataan berasingan bagi menyampaikan rasa simpati kepada rakyat Qatar atas kematian para diplomat itu.

Menurut kenyataan Pejabat Presiden Mesir, sidang kemuncak itu akan dipengerusikan bersama oleh Presiden Mesir, Abdel-Fattah El-Sisi dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa lebih dua dozen pemimpin dunia termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez; dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres akan menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button