JENAYAH & MAHKAMAH

Tampar pelajar empat kali, pesara guru diperintah bayar RM88,069

KOTA BHARU – Seorang pesara guru diperintah membayar ganti rugi RM88,069 kepada bekas pelajarnya selepas didapati menampar remaja itu sebanyak empat kali ketika sesi pembelajaran di dalam kelas, kira-kira tujuh tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd Rosli Yusoff selepas membenarkan tuntutan saman sivil yang difailkan mangsa melalui ibunya terhadap guru berkenaan dan tiga defendan lain.

Mangsa, Mohamad Adam Maidin kini berusia 21 tahun, dan ibunya, Noor Azleen Mohamad, 47, memfailkan saman terhadap guru terbabit, Isamuddin Ismail, 63, yang ketika kejadian merupakan Penolong Kanan Pentadbiran dan guru subjek Sejarah.

Mohd Rosli berkata, mahkamah mendapati guru berkenaan melakukan serangan sentuh terhadap mangsa dengan menampar mukanya, termasuk kedua-dua pipi menggunakan tangan kanan dan kiri dari arah belakang.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa kena ‘tampar kapit’. Mahkamah mengambil kira keterangan doktor dan beberapa ujian pendengaran yang dijalankan terhadap mangsa untuk membuktikan kecederaan dialaminya.

“Mahkamah turut mendapati guru berkenaan sebagai seorang pendidik sepatutnya mempunyai tanggungjawab untuk berhati-hati ke atas pelajar,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi keseluruhan RM88,069 kepada plaintif.

Berdasarkan notis tuntutan, kejadian berlaku pada 28 Januari 2019 ketika Mohamad Adam berusia 14 tahun dan berada di Tingkatan Dua sekolah berkenaan.

Ketika kejadian pada pukul 10.30 pagi, mangsa didakwa sedang berada di mejanya bersama rakan sekelas sebelum guru terbabit datang dari arah belakang lalu menamparnya dengan kuat sebanyak empat kali.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan pada muka dan kedua-dua telinga selain mengadu pening, masalah pendengaran serta bunyi berdesing dalam telinga.

Laporan perubatan yang dikeluarkan pada Jun 2019 mendapati mangsa mengalami masalah pendengaran pada telinga kanan termasuk kehilangan pendengaran bercampur pada tahap ringan hingga sederhana.

Kecederaan itu didiagnosis sebagai trauma dipercayai akibat ditampar.

Kejadian berkenaan turut menyebabkan mangsa mengalami trauma sehingga terpaksa berpindah sekolah kira-kira sebulan kemudian kerana takut untuk kembali ke sekolah berkenaan.

Sementara itu, peguam yang mewakili plaintif, Mohd Syukran Mohd Noordin berkata, mahkamah membenarkan tuntutan terhadap empat defendan selepas mendapati terdapat unsur kecuaian dan tanggungjawab yang perlu dipikul berhubung kejadian tersebut.

Katanya, jumlah RM88,069 itu merangkumi RM45,000 ganti rugi am, RM569 ganti rugi khas, RM11,250 ganti rugi teladan, RM11,250 ganti rugi teruk serta faedah dan kos sebanyak RM20,000.

Menurutnya, saman sivil berkenaan difailkan melalui Tetuan Syukran Noordin pada Mac 2021, kira-kira dua tahun selepas kejadian.

Selain guru terbabit, plaintif turut menamakan pengetua sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. Kesemua mereka diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syakimah Ibrahim.

Dalam pada itu, Noor Azleen berkata, dia menyedari perubahan anaknya ketika Mohamad Adam pulang dari sekolah pada hari kejadian apabila wajahnya kelihatan merah, murung dan tidak bermaya selain mengadu sakit kepala.

Katanya, seorang rakan sekelas anaknya kemudian memaklumkan bahawa Mohamad Adam ditampar guru berkenaan dan meminta supaya dia dibawa mendapatkan rawatan.

“Anak saya takut untuk ke sekolah sehingga saya terpaksa tukarkan dia ke sekolah lain. Selepas kira-kira dua hingga tiga tahun, baru semangatnya pulih,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button