JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah arah Aliff Ahmad bayar RM130,000 dalam kes fitnah dua peguam

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan aktivis media sosial, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin, membayar ganti rugi keseluruhan RM130,000 kepada dua peguam selepas didapati bertanggungjawab menerbitkan kenyataan berunsur fitnah di media sosial.

Keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Khadijah Idris itu sekali gus menamatkan pertikaian undang-undang yang bermula sejak penghujung 2021 apabila kedua-dua plaintif mengambil tindakan sivil bagi membersihkan reputasi profesional mereka.

Dalam penghakiman tersebut, mahkamah memutuskan plaintif pertama, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, berjaya membuktikan unsur fitnah bagi satu daripada terbitan yang dikaitkan dengan defendan, memetik laporan BH Online.

Mahkamah kemudian mengarahkan Ahmad Aliff membayar ganti rugi global sebanyak RM80,000 merangkumi ganti rugi am, khas dan teladan, selain kos tindakan RM10,000 kepada beliau.

Bagi plaintif kedua, Asiah Abd Jalil, mahkamah turut mendapati beliau berjaya membuktikan kes fitnah berkaitan satu lagi terbitan.

Sehubungan itu, defendan diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 serta kos guaman RM7,000 kepada Asiah.

Sementara itu, tuntutan balas yang difailkan Ahmad Aliff terhadap kedua-dua peguam berkenaan ditolak sepenuhnya oleh mahkamah.

Terdahulu, kedua-dua plaintif melalui firma guaman Tetuan Nurul Hafidzah & Associates memfailkan saman dengan menuntut ganti rugi am masing-masing RM1 juta, selain injunksi mandatori bagi mengarahkan defendan menarik balik kenyataan fitnah serta membuat permohonan maaf secara terbuka di Facebook.

Sepanjang prosiding, plaintif menegaskan hantaran yang dibuat defendan bersifat menyerang peribadi dan menjejaskan urusan profesional mereka sebagai peguam.

Dalam perkembangan sama, peguam Mahmud Jumaat yang mewakili Ahmad Aliff memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dalam masa terdekat.

Beliau turut menjelaskan bahawa daripada keseluruhan 19 tuntutan yang dikemukakan plaintif, mahkamah hanya membenarkan dua tuntutan sahaja, masing-masing satu bagi setiap plaintif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button