BERITA SEMASADALAM NEGERI

Bengkel santai atas KM MARUDU perkukuh kerjasama Maritim-Mahkamah

GELANG PATAH – Usaha memperkukuh hubungan strategik antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan institusi kehakiman diterjemahkan menerusi penganjuran Bengkel Penguatkuasaan Undang-undang Maritim yang berlangsung dalam suasana santai di atas Kapal Maritim (KM) MARUDU, Sabtu lalu.

Program anjuran Bahagian Siasatan Maritim Negeri Johor yang diadakan di Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai itu menghimpunkan kira-kira 25 peserta terdiri daripada pegawai dan anggota Maritim Malaysia serta wakil pihak Mahkamah Johor Bahru.

Menurut Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil, bengkel berkonsep santai namun padat dengan pengisian ilmiah itu membuka ruang pertukaran idea serta pemahaman dua hala melibatkan aspek penguatkuasaan dan perundangan maritim.

“Ini kali pertama bengkel seperti ini diadakan secara langsung bersama pihak Mahkamah, khususnya bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang kaedah pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang maritim di lapangan.

“Ia turut merangkumi kefahaman terhadap lokasi-lokasi titik panas (hotspot) yang sering menjadi tumpuan kegiatan jenayah maritim di perairan Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, bengkel itu juga memberi gambaran jelas mengenai cabaran sebenar yang dihadapi anggota penguat kuasa Maritim Malaysia ketika menjalankan tugas-tugas operasi seperti penggeledahan, tangkapan dan siasatan sebelum kes dibawa ke muka pengadilan.

“Penganjuran sebegini amat penting bagi memastikan penyelarasan dari sudut pemahaman undang-undang serta penyampaian bukti yang tepat dan efisien antara pihak Maritim Malaysia dan institusi kehakiman,” ujar beliau.

Delegasi dari Mahkamah Johor Bahru diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru (I) Jenayah, Yang Arif Datuk Abu Bakar Katar.

Bengkel tersebut dilihat sebagai satu inisiatif strategik Maritim Negeri Johor dalam memperkukuh hubungan antara agensi, selain menjamin keselamatan dan kesejahteraan perairan negara secara berterusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button