BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia-AADK gempur nelayan Johor, empat positif dadah

MUAR – Empat nelayan tempatan ditahan selepas disahkan positif dadah jenis Methamphetamine dalam Operasi Bersepadu di perairan Tanjung Emas, di sini, pada 18 dan 19 September lalu.

Operasi selama dua hari itu dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor, dengan kekuatan aset Bot PENGGALANG 30 dan Bot PETIR 85.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, operasi turut disertai 12 pegawai AADK Negeri Johor dan Muar diketuai Timbalan Pengarah Cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Johor, Zatul Rawihah Abdul Razak.

maritim malaysia
Operasi selama dua hari itu dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor, dengan kekuatan aset Bot PENGGALANG 30 dan Bot PETIR 85.

“Sebanyak tujuh vesel nelayan tempatan diperiksa. Hasil saringan air kencing, empat daripadanya didapati positif Methamphetamine.

“Kesemua mereka diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua vesel nelayan yang ditahan turut dibebaskan dan diserahkan semula kepada pemilik selepas siasatan selesai.

Tegasnya, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan perairan negara kekal selamat daripada jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh kawalan keselamatan di laut, malah memberi mesej jelas bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di 07-4344020.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button