BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan tiga individu membawa dadah, peranti letupan dalam sekatan jalan di Serdang

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki ditahan bersama pelbagai jenis dadah dan alat dipercayai peranti bahan letupan buatan sendiri dalam sekatan jalan raya di Jalan Suakasih, Serdang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, suspek ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya itu.

Katanya, dalam sekatan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang kira-kira pukul 3.30 pagi itu, sebuah kereta jenis Honda Civic bertindak melarikan diri selepas diarah berhenti.

“Polis terpaksa mengejar kenderaan tersebut sejauh kira-kira 25 kilometer sehingga ke Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

“Setibanya di Kilometer 5.1 lebuh raya tersebut, kenderaan suspek hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terbalik di tengah laluan.

“Tangkapan itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah serta satu objek yang dipercayai peranti bahan letupan buatan sendiri (IED),” katanya dalam satu kenyataan.

Ketiga-tiga suspek, berusia antara 40 hingga 51 tahun, mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati pelbagai jenis dadah dalam kuantiti yang signifikan disembunyikan dalam kereta tersebut.

Antara rampasan termasuk kokain (77.10 gram); ganja (49.28 gram); serbuk MDMA atau ekstasi (54.07 gram); ketamin (30.18 gram); pil yaba (3.20 gram); pil ekstasi (3.40 gram) dan pil eramin 5 (0.98 gram).

“Polis turut menemui satu objek yang mencurigakan dan dipercayai merupakan peranti bahan letupan buatan sendiri (IED) yang terdiri daripada komponen logam, skru, gulungan wayar serta satu bateri motosikal.

“Objek tersebut dibalut dengan plastik lut sinar dan mengandungi elemen yang menyerupai struktur asas IED. Ia sedang diperiksa oleh unit forensik untuk pengesahan lanjut,” jelasnya.

Siasatan awal pihak polis mendedahkan dua daripada suspek memiliki 43 rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala seorang lagi sedang dikehendaki pihak berkuasa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketiga-tiga mereka kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, serta Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 susulan penemuan peranti dipercayai bahan letupan buatan sendiri.

“Penemuan dadah dalam kuantiti besar bersama komponen dipercayai IED menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan kewujudan sindiket jenayah terancang. Siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian yang terlibat,” tegasnya.

Orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat berkenaan sebarang aktiviti jenayah bagi membantu siasatan dan memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button