BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Anggota polis antara didakwa terbabit kes pemerdagangan tujuh wanita India

KUALA LUMPUR – Tujuh wanita warga India menjadi mangsa pemerdagangan orang selepas dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah, namun sebaik tiba di negara ini, mereka dipaksa menjadi pekerja seks.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, semua mangsa berusia antara 25 hingga 40 tahun itu dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah di Malaysia, namun dipaksa menjadi pekerja seks serta dikawal ketat oleh ahli sindiket.

Beliau berkata, terdapat mangsa yang turut dipukul dan diugut sekiranya enggan mematuhi arahan yang diberikan oleh sindiket terbabit.

“Dalam operasi itu juga, 12 individu ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan berusia 34 dan 63 tahun, serta enam lelaki dan empat wanita warga India berusia antara 21 hingga 58 tahun.

“Semua suspek yang ditangkap disyaki ahli sindiket yang berperanan memperdagangkan wanita-wanita yang diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kesemua mangsa diselamatkan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) D3, JSJ Bukit Aman dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada jam 1 pagi 30 September lalu menerusi OP Pintas.

Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 16 Oktober lalu dan lima tangkapan termasuk seorang anggota polis dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Selain itu, lima warga asing turut dituduh mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Kesemua tangkapan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam,” katanya.

Beliau menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku.

Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah ini melalui balai polis berdekatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button