BERITA SEMASADALAM NEGERI

Anggota polis IPD Johor Bahru ditahan selepas video tampar penunggang motosikal

JOHOR BAHRU – Seorang individu yang menampar penunggang motosikal dalam rakaman video tular di sebuah stesen minyak di Taman Perling, di sini, dikenal pasti sebagai anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya mengesan rakaman video berkenaan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Komuniti Johor, dipercayai berlaku pada pukul 6.50 petang, 11 Januari lalu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati anggota polis terbabit sedang bercuti ketika kejadian berlaku.

“Setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian tersebut namun mangsa telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azrol Anuar menegaskan, pihak polis memandang serius sebarang salah laku yang melibatkan pegawai dan anggotanya, justeru satu siasatan dalaman telah dibuka.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang atau tatakelakuan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

“Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan berintegriti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button