Polis temui rangka manusia di sawah padi
KOTA BHARU – Polis menemui tengkorak dan tulang yang dipercayai rangka manusia di sawah padi dekat Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, petugas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh menerima maklumat itu kira-kira pukul 3 petang.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai polis dari Balai Polis Selising dan IPD Pasir Puteh telah ke lokasi kejadian dan menemukan tengkorak serta tulang dipercayai rangka manusia.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaizul Rizal berkata, pihak forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hadir untuk menjalankan siasatan serta pencarian saki-baki rangka bagi melengkapkan siasatan.
“Kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Selising Sarjan Mejar Suhaimi Abdullah di talian 019-2424434 atau Bilik Gerakan IPD Pasir Puteh di 09-7867222,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







