Lelaki curi beg dalam kereta ditahan polis di bangi
KUALA LUMPUR– Seorang lelaki berusia 42 tahun berjaya diberkas polis selepas disyaki mencuri sebuah beg dari dalam sebuah kereta di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, suspek yang tidak bekerja itu ditahan kira-kira pukul 5.18 petang di sebuah lokasi sekitar Bangi.
“Hasil tangkapan, polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha Y15 dan sepasang pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau. Susulan itu, dia kini direman selama tiga hari sehingga 26 Mei bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Naazron turut memaklumkan bahawa pihaknya masih berusaha mengesan semula kandungan beg yang dicuri.
“Kami juga menyeru mangsa untuk tampil membuat laporan polis dan membantu siasatan,” ujarnya.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Norhafizah Mat Yusoff di talian 011-5453 9190.
Tambah beliau, masyarakat diingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan tidak berkunci atau enjin masih hidup bagi mengelakkan kejadian jenayah.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 27 saat di platform TikTok yang memaparkan seorang lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar mengambil sesuatu dari dalam sebuah kereta yang dipercayai tidak berkunci.
“Siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam beberapa kejadian kecurian membabitkan kenderaan yang tidak dikunci atau ditinggalkan dengan enjin masih hidup,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








