Penceramah motivasi berkait dakwaan gangguan seksual dilepas dengan jaminan polis
KANGAR – Seorang penceramah motivasi yang disiasat berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan mangsa bawah umur dilepaskan dengan jaminan polis hari ini selepas tempoh tahanan remannya tamat.
Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, suspek akan dibebaskan petang ini selepas semua prosedur berkaitan tahanan reman selesai.
“Penceramah motivasi itu tamat tempoh reman hari ini dan diberi jaminan polis.
“Dia akan dilepaskan petang ini selepas selesai prosedur reman berkenaan,” katanya memetik laporan Metro Online.
Semalam, suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar bagi proses permohonan perintah reman oleh pihak polis.
BACA JUGA:
Penceramah bebas didakwa gangguan seksual direman dua hari
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Mohd Amiruldin Roslan membenarkan permohonan polis untuk menahan lelaki berkenaan selama dua hari bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa wanita membuat pendedahan di media sosial mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan manipulasi (grooming) oleh penceramah berstatus suami orang itu.
Dakwaan berkenaan termasuk suspek mendekati mangsa menerusi aplikasi TikTok dengan alasan berkaitan urusan kerja atau pelajaran sebelum didakwa mengajak mereka menjadi ‘sugar baby’ serta bertemu di hotel.
Susulan isu itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan semua program di sekolah yang membabitkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan dan perlindungan murid.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








