BERITA SEMASA

Dakwaan gangguan seksual murid di Johor: Guru terlibat direhatkan, kertas siasatan diserahkan kepada polis – Fadhlina

PUTRAJAYA – Siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual seorang guru terhadap murid tahun enam di sebuah sekolah di Johor sudah diserahkan kepada polis.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, guru yang terbabit dalam siasatan itu sudah direhatkan serta-merta sementara siasatan dijalankan.

Beliau menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dalam kes gangguan seksual.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengambil alih kes ini sepenuhnya. Individu terbabit sudah ditahan oleh pihak berkuasa.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah melindungi anak ini. KPM akan teruskan siasatan dalaman,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina meminta masyarakat di negara ini supaya tampil ke hadapan untuk melaporkan kes terkait dakwaan kesalahan seksual kepada pihak berkuasa.

Pada masa sama, beliau berharap pihak berkuasa terbabit mesti mengambil tindakan segera menyiasat apabila aduan membabitkan mangsa kanak-kanak.

“Ambil tanggungjawab bersama sebagai ahli masyarakat untuk terus mengingatkan tanggungjawab semua pihak untuk terus melindungi kanak-kanak,” katanya.

Semalam, tular satu pendedahan di media sosial berhubung kejadian gangguan seksual membabitkan seorang guru dan murid perempuan tahun enam di sebuah sekolah rendah di Masai.

Bekas guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh dilaporkan mendakwa guru besar sekolah terbabit membuat laporan polis sebanyak dua kali untuk menggesa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang mengambil tindakan tegas terhadap guru berusia 28 tahun itu.

Guru terbabit, katanya, sudah dipindahkan sementara ke PPD selama tiga bulan namun dibenarkan mengajar semula bermula sesi persekolahan tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button