Institusi pendidikan bukan bawah KPM digalakkan laksana pemakaian lencana Jalur Gemilang
KEPALA BATAS – Institusi pendidikan yang tidak berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) digalakkan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, langkah itu adalah bagi memastikan inisiatif yang bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, turut didukung semua pihak, lapor BERNAMA.
“Bermula hari ini di seluruh Malaysia, seramai 5.3 juta pelajar di bawah KPM mula memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah masing-masing. Pelancaran pemakaian Jalur Gemilang ini juga dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini.
“Bagi institusi pendidikan yang tidak berada di bawah KPM, kita galakkan mereka untuk turut serta memakai lencana Jalur Gemilang, supaya inisiatif ini dapat diperluaskan dan disokong oleh semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini hari ini.
Fadhlina bagaimanapun menegaskan, murid yang tidak memakai lencana yang diberi percuma itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan, memandangkan inisiatif ini bukan bersifat menghukum sebaliknya bertujuan menyuburkan semangat cinta kepada negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan inisiatif ini merupakan iltizam KPM bagi memastikan nilai-nilai berkaitan semangat kenegaraan, perpaduan dan jati diri kebangsaan dapat dipupuk sejak peringkat prasekolah hingga ke semua institusi pendidikan di bawah kementerian.
Sebelum ini, KPM mengumumkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu, berkuat kuasa 21 April 2025.
Langkah berkenaan melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia, dengan tujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








