PM ziarah jenazah abang di Cherok To’kun
SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di kediaman keluarganya di Kampung Cherok To’kun Bawah, di sini pagi ini bagi menziarahi jenazah abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim yang meninggal dunia akibat sakit tua semalam.
Anwar tiba kira-kira pukul 11.05 pagi bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir menziarahi jenazah ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib bersama isterinya, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Allahyarham Idrus, 83, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.30 petang semalam ketika sedang tidur di kediamannya di Jalan Kilang Ubi, Cherok Tokun.
Menurut keluarga, Allahyarham yang juga bekas guru besar itu tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa sebelum meninggal dunia.
Malah, Allahyarham masih mampu menguruskan diri seperti biasa sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Jenazah Allahyarham dijangka disolatkan di Dewan Solat Masjid Cherok To’kun Bawah selepas solat Jumaat hari ini.
Jenazah kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok To’kun Bawah yang terletak bersebelahan masjid.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








