Bukit Bintang bersinar, PM akan rasmi ‘I LITE U’ pada 3 Januari
KUALA LUMPUR – Bukit Bintang bakal bersinar meriah pada 3 Januari depan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan majlis pelancaran ‘I LITE U‘, sekali gus menandakan pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, majlis berprestij itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon peraih anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh, bagi menyokong kempen pelancongan negara.
“Bukit Bintang akan bersinar indah apabila Malaysia menonjolkan kepelbagaian, daya tarikan dan keunikan budaya kepada dunia. Bagi menekankan kepentingan majlis ini, ia juga akan disiarkan secara langsung di stesen televisyen nasional,” katanya dalam kenyataan semalam.
Majlis peringkat kebangsaan itu dianjurkan oleh KPKT dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kor Ming menambah, beberapa jalan utama di Bukit Bintang akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada perarakan gilang-gemilang melibatkan 20 kontinjen, selain persembahan langsung oleh artis tempatan terkenal.
Nga turut menyeru rakyat Malaysia di seluruh negara untuk sama-sama menyertai sambutan itu serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan pengalaman keseluruhan acara.
“Orang ramai diingatkan supaya menjaga kebersihan awam dan imej bandar, supaya setiap pengunjung meninggalkan Malaysia dengan kenangan manis dan rasa selesa,” katanya sambil menambah majlis itu dijangka menarik kehadiran ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa Perintah Khidmat Masyarakat bagi kesalahan membuang sampah akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
“Semua pengunjung serta peserta diminta mematuhi undang-undang bagi membina Malaysia yang bersih, selamat dan mesra pelancong,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








