BERITA SEMASAPMX

Perdana Menteri kecam kekejaman di Sudan, gesa tindakan segera hentikan keganasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan mendalam terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di El Fasher dan seluruh wilayah Darfur, Sudan yang disifatkannya sebagai bencana kemanusiaan besar.

Menurut beliau, apa yang sedang disaksikan dunia kini melibatkan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan perpindahan penduduk secara besar-besaran adalah satu keadaan yang menggoncang hati nurani kemanusiaan.

Masa depan ASEAN ditentukan oleh pilihan hari ini - Anwar
Perdana Menteri menggesa keganasan dihentikan serta-merta dan meminta komuniti antarabangsa bertindak tegas.

“Laporan mengenai kekejaman yang mungkin boleh disifatkan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan malah pembunuhan beramai-ramai adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di media sosial hari ini.

Anwar menegaskan Malaysia menggesa supaya keganasan dihentikan serta-merta dan semua pihak menghormati serta melindungi orang awam selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beliau turut menyatakan solidariti Malaysia bersama rakyat Sudan dan menggesa komuniti antarabangsa bertindak tegas bagi mengelakkan penderitaan yang lebih dahsyat, memulihkan akses kemanusiaan serta menyokong usaha ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban.

Darfur, wilayah di barat Sudan telah lama menjadi tumpuan konflik bersenjata sejak awal tahun 2000 yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban dan berjuta-juta penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing.

Kali ini, laporan terkini menyebut berlaku keganasan skala besar termasuk pembunuhan, kebuluran dan perpindahan penduduk yang semakin kritikal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button