BERITA SEMASA

RapidKL sahkan penumpang bawa minuman alkohol dalam tren

KUALA LUMPUR – Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini mengingatkan pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) supaya mematuhi peraturan larangan makan dan minum di stesen, platform serta dalam tren kendaliannya.

Peringatan itu dikeluarkan susulan kejadian tular di media sosial membabitkan seorang individu yang didakwa membawa dan meminum arak ketika menaiki tren LRT laluan Ampang/Sri Petaling.

Menurut Rapid KL, berdasarkan maklumat yang dikongsikan pengguna media sosial, kejadian berkenaan dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.

Insiden itu turut dikaitkan dengan perbuatan membuang sampah di dalam tren.

“Larangan ini adalah selaras dengan syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam, termasuk larangan membawa dan mengambil makanan serta minuman tertentu yang tidak dibenarkan.

“Sehubungan itu, pengguna diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan bersama-sama menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah atau meninggalkan sisa makanan di dalam tren, stesen dan platform,” menurut kenyataan itu.

Rapid KL berkata, kerjasama semua pengguna dalam memastikan peraturan dipatuhi amat dihargai bagi mewujudkan persekitaran pengangkutan awam yang bersih dan selesa.

Pada masa sama, pengguna digalakkan segera melaporkan sebarang pelanggaran peraturan atau kejadian mencurigakan kepada petugas stesen, Polis Bantuan atau menerusi saluran rasmi Rapid KL.

“Langkah itu membolehkan tindakan diambil dengan lebih pantas dan berkesan.

“Rapid KL komited memastikan persekitaran perjalanan yang selamat, selesa dan kondusif untuk semua pengguna pengangkutan awam,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button