Patuh CPC, RMC atau berdepan denda tinggi – Fahmi kepada platform media sosial
KUALA LUMPUR – Platform media sosial diberi tempoh beberapa bulan untuk melaksanakan sepenuhnya Kod Keselamatan Kanak-kanak (CPC) dan Kod Mitigasi Risiko (RMC), sebelum tindakan tegas termasuk tindakan mahkamah dengan denda tinggi boleh dikenakan terhadap pengendali yang gagal mematuhinya.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kedua-dua kod berkenaan diterbitkan bagi memastikan platform media sosial tidak menjadi lubuk jenayah termasuk penipuan (scam), judi dalam talian, buli siber dan jenayah lain.
“Mereka diberikan sedikit masa untuk meneliti dan mengubah suai sistem masing-masing kerana Code CPC dan RMC ini fungsinya adalah untuk pastikan sistem ataupun platform itu tidak menjadi lubuk jenayah dan bentuk-bentuk jenayah yang tertentu.
“Saya akan beri mereka sedikit masa sebab banyak daripada isu ini terangkum dalam pengoperasian kod keselamatan kanak-kanak ataupun Child Protection Code, CPC dan juga RMC.
“Jadi bila kedua-dua kode ini terpakai sepenuhnya maka platform sekiranya mereka gagal boleh dikenakan tindakan mahkamah dengan denda yang sangat tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen PIBG Internet Selamat di ibu negara, hari ini.
Fahmi berkata, beliau turut membangkitkan isu penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam moderasi kandungan, khususnya apabila platform tidak mempunyai keupayaan memahami konteks dan nuansa bahasa tertentu.
Katanya, penggunaan AI secara berlebihan bagi tujuan moderasi berisiko menyebabkan jenayah atau kejadian seperti buli siber berleluasa dalam kumpulan yang menggunakan bahasa tertentu, termasuk komuniti India berbahasa Tamil.
“Saya telah menyampaikan pandangan sebelum ini kepada pihak TikTok isu bahasa tak boleh diserahkan bulat-bulat kepada AI dia tidak mampu memahami sepenuhnya nuansa penggunaan ayat-ayat tertentu terutama yang memangsakan orang lain, yang membuli orang lain.
“Tapi pihak TikTok malangnya telah mengambil satu sikap mereka telah mengurangkan jumlah moderator manusia dan sekarang ini lebih memberi fokus kepada penggunaan AI,” katanya.
Fahmi berkata, pihaknya akan memberi sedikit masa kepada platform media sosial terbabit untuk memahami dan melaksanakan CPC serta RMC, termasuk melakukan pengubahsuaian terhadap sistem masing-masing.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada masa ini sedang mengadakan perbincangan dengan platform media sosial di Singapura, termasuk YouTube, bagi memastikan kod berkenaan diterima pakai.
Katanya, platform sebelum ini meminta sedikit masa untuk memahami sepenuhnya kod yang dimaksudkan dan mengoperasikannya dalam sistem masing-masing.
“Jadi kita beri mereka sedikit masa mungkin tempoh beberapa bulan untuk melaksanakan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








