X ketatkan kawal selia Grok, kandungan sensitif disekat
PUTRAJAYA – Chatbot kecerdasan buatan (AI) Grok kini tidak lagi mampu menyunting dan menjana imej dan video berunsur lucah, seksual dan sumbang kerana penggunaannya sudah dikawal selia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengesahan itu disampaikan kepada beliau oleh wakil platform X bagi rantau Asia Pasifik dalam satu pertemuan kira-kira sejam di Menara Komunikasi, di sini hari ini, lapor BERNAMA.
“Jadi, semua pengguna tidak lagi boleh melakukan penyuntingan gambar atau video untuk menghasilkan gambar atau video lucah ataupun tidak sopan seperti yang telah berlaku sebelum ini.
“Pengesahan ini dibuat (X) dan yang hadir dalam mesyuarat selain saya sendiri (ialah) Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) dan pegawai kanan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Fahmi berkata penjelasan lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat. esok.
Beliau berkata, kerajaan amat mengalu-alukan kehadiran pihak X yang datang ke Putrajaya khusus untuk berbincang mengenai perkara berkenaan.
Selain itu, Fahmi berkata pihak X turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam inisiatif Kempen Internet Selamat, termasuk usaha memastikan platform berkenaan lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat.
“Jadi di situ saya lihat di pihak pengurusan X, mereka menyatakan kesungguhan untuk pastikan platform X menjadi lebih selamat dan akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kementerian Komunikasi dan juga MCMC,” katanya.
Pada 11 Januari lalu, MCMC mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah dan kandungan seksual eksplisit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














