Kerajaan giat laksana penyelarasan dana tubuh Majlis Media Malaysia
PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi giat menyelaras pelaksanaan penyediaan dana bagi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang dijangka direalisasikan dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak kementerian sedang merancang untuk mengadakan pertemuan secara fizikal bersama semua Ahli Lembaga Pengasas MMM dalam masa terdekat bagi memperhalusi langkah penubuhan badan itu.
“Insya-Allah, memandangkan wakil-wakil daripada pelbagai kategori tidak semuanya berada di Lembah Klang, kita akan cuba menjemput mereka hadir pada masa yang sesuai.
“Kita menjangkakan kementerian akan dapat menyediakan dana bagi memulakan operasi majlis media ini dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar mingguan kementeriannya, di sini hari ini.
Sebelum ini, beliau memaklumkan Lembaga Pengasas MMM terdiri daripada 12 ahli mewakili empat kategori iaitu syarikat media, persatuan media, pengamal media serta pengamal media bebas dan ahli bukan media.
Majlis Media Malaysia dirancang sebagai badan kawal selia kendiri yang akan berperanan melindungi kebebasan media, memastikan pematuhan terhadap etika kewartawanan dan memperkukuh landskap industri media di negara ini.
Dalam pada itu, mengulas perkembangan mesyuarat Jemaah Menteri, Fahmi berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap cuaca panas susulan peralihan Monsun Barat Daya yang bermula 10 Mei lalu dan dijangka berterusan hingga September ini.
Menurut beliau, KKM juga diminta supaya mengeluarkan nasihat berkaitan kesihatan awam terutama melibatkan aktiviti luar, selaras amaran cuaca panas yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Op Kesan 4.0 telah dilancarkan sempena peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mula berkuat kuasa semalam.
Katanya, operasi itu digerakkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membanteras aktiviti pencatutan yang boleh membebankan pengguna.
“Orang ramai dinasihatkan untuk segera membuat aduan sekiranya mendapati mana-mana premis perniagaan menaikkan harga barangan secara tidak wajar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








