BERITA SEMASA

Pemergian Allahyarham Cik Man tinggalkan legasi besar dalam industri perfileman – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyifatkan pemergian pelakon veteran, Kamarool Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni negara.

Beliau berkata, Allahyarham merupakan antara figura yang meninggalkan impak besar dalam industri perfileman Malaysia menerusi pelbagai watak ikonik yang terus dikenang sehingga kini.

“Dalam kalangan peminat filem Melayu, khususnya era 1980-an, Allahyarham cukup sinonim dengan watak Farouk menerusi filem Gila-Gila Remaja.

“Lakonannya yang berkesan menjadikan watak tersebut kekal terpahat dalam ingatan peminat dan dianggap antara karakter paling ikonik dalam sejarah filem tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, Allahyarham turut mencuri perhatian generasi baharu menerusi watak Cik Man dalam filem Rock Ooo!, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelakon yang berjaya merentasi zaman.

Malah katanya, sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan, beliau bukan sahaja disegani oleh rakan-rakan industri, malah dihormati oleh pencinta seni atas dedikasi dan sumbangannya kepada perkembangan perfileman tanah air.

“Jasa serta karya yang ditinggalkan akan terus menjadi khazanah seni negara dan dikenang oleh generasi peminat filem Melayu.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, mencucuri rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button