Jualan dadah dalam talian guna istilah mengelirukan – Fahmi
KUALA LUMPUR – Penjual dadah secara dalam talian dikesan menggunakan istilah tertentu bagi mengelirukan pihak berkuasa dan pengguna termasuk menyamarkan produk terlarang sebagai barangan lain di platform digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, antara cabaran utama dalam membanteras kegiatan itu adalah penjual tidak menggunakan nama saintifik atau menyatakan secara jelas bahawa produk yang ditawarkan mengandungi dadah.
Beliau berkata, perkara itu termasuk penjualan fentanyl untuk penggunaan vape, yang dipasarkan menggunakan istilah berbeza walaupun pengguna tertentu mungkin memahami maksudnya dan mengetahui cara mendapatkan bahan berkenaan.
āKadangkala cara sesuatu barang terlarang itu diperagakan dalam platform mereka mungkin tidak menggunakan perkataan tertentu. Jadi mereka cuba untuk bermain (dengan istilah).
āSaya bagi contoh dalam isu jualan dadah terlarang, fentanyl bagi penggunaan vape. Kadangkala mereka menggunakan perkataan-perkataan yang berbeza tetapi bagi pengguna, mereka mungkin mengenali dan mampu membeli,ā katanya kepada pemberita selepas merasmikan program M360 ASEAN 2026 di Hotel Grand Hyatt, di sini hari ini.
Beliau berkata, isu penjualan barangan terlarang itu paling banyak dikesan pada satu platform tertentu, namun pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan dadah tidak dijual melalui platform e-dagang.
Menurutnya, pengendali platform berkenaan telah dipanggil untuk mengadakan perbincangan pada Isnin lalu, namun beliau masih belum menerima taklimat berhubung hasil pertemuan itu.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, lebih 65,000 kandungan berkaitan penipuan atau scam dan judi dalam talian secara haram masih belum diturunkan oleh pengendali platform susulan permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, jumlah itu adalah sebahagian daripada lebih satu juta permohonan penurunan kandungan yang dikemukakan MCMC kepada platform dalam talian bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos lalu.
āKadar pematuhan 93 peratus masih meninggalkan lebih daripada 65,000 kandungan yang tidak diturunkan susulan permintaan MCMC. Jumlah itu penting,ā katanya lagi.
Fahmi menegaskan pendirian Malaysia adalah tegas dalam menangani kandungan dan barangan terlarang di platform digital, selain menggesa pengendali platform mengambil tindakan lebih proaktif.
āPendirian Malaysia tegas. Kita tidak akan berganjak. Mereka perlu lebih proaktif, bukan sekadar menurunkan (kandungan),ā katanya.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 7,000 kandungan berkaitan penjualan dadah telah dikemukakan MCMC kepada platform bagi tahun ini, dengan lebih 6,500 atau 93 peratus daripadanya telah diturunkan setakat ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








