BERITA SEMASADALAM NEGERI

Lantikan hakim-hakim berpandukan syor JAC – Fahmi Fadzil

SHAH ALAM – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa pelantikan hakim-hakim kanan termasuk Ketua Hakim Negara dibuat berpandukan syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada Yang di-Pertuan Agong, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya wujud campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam proses berkenaan.

“Berkaitan lantikan Hakim Negara, Perdana Menteri berkata, tohmahan dan pelbagai fitnah yang sebelum ini berlegar sudah terjawab akhirnya. Proses pelantikan adalah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Nama-nama yang dibawa adalah seperti yang disediakan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan tidak ada sebarang nama yang tidak diberikan kecuali melalui proses yang dinyatakan dalam Akta JAC,” katanya selepas menghadiri pertemuan tertutup bersama pemimpin dan anggota PKR Selangor, di sini semalam.

Fahmi turut menambah, Perdana Menteri secara tegas menyatakan tidak pernah memecat mana-mana Ketua Hakim, sekaligus menolak sebarang dakwaan kononnya berlaku krisis dalam badan kehakiman sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

“Isu pelantikan tidak timbul kerana semuanya dibuat mengikut proses yang sah. Tiada krisis kehakiman seperti yang cuba digambarkan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa tidak akan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen yang mempunyai pandangan berbeza, bahkan menghormati hak mereka untuk menyuarakan pendapat.

“Perdana Menteri minta supaya semua ketua cabang dan anggota faham perkara ini serta terus bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan,” ujarnya.

Mengulas soal pentadbiran parti, beliau memaklumkan bahawa Anwar telah mengarahkan agar pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) diselesaikan sebelum hujung bulan ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button