Liputan Internet Sabah capai 95.3 peratus, Kampung Sepagaya nikmati kelajuan 5G hingga 300 Mbps
LAHAD DATU – Penduduk di Kampung Sepagaya di sini kini menikmati capaian komunikasi lebih baik selepas ujian kualiti liputan mendapati menara telekomunikasi di kawasan itu mampu mencatat kelajuan sehingga 300 Mbps bagi rangkaian 5G dan 80 Mbps untuk 4G.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ujian berkenaan dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia perkhidmatan utama iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan TM Tech. Inisiatif ini memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,800 penduduk setempat.
“Saya telah mengikuti sesi pengujian kualiti liputan komunikasi di Kampung Sepagaya, Lahad Datu bersama-sama penyedia perkhidmatan utama. Melalui aplikasi MCMC NEXUS, menara komunikasi di kawasan ini mencatat kelajuan sehingga 300 Mbps (5G) dan 80 Mbps (4G), serta memberi manfaat kepada lebih 3,800 penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Menurut Fahmi, setakat 31 Julai 2025, liputan Internet di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 95.3 peratus, meningkat ketara berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan Projek JENDELA.
Sementara itu, bagi menghadapi Monsun Timur Laut dan musim banjir, semua penyedia perkhidmatan komunikasi telah diarahkan menambah kapasiti rangkaian serta menyediakan bekalan kuasa sokongan seperti generator dan sistem hibrid solar.
Langkah kesiapsiagaan ini penting kerana Kampung Sepagaya dikenal pasti antara kawasan berisiko banjir setiap kali musim Monsun Timur Laut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








