Tiga suspek kes dera warga emas hingga mati direman tujuh hari
SEREMBAN – Tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang lelaki warga emas yang didakwa didera di sebuah rumah pangsa di Rasah Jaya, di sini, direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 34 tahun itu ditahan semalam bagi membantu siasatan.
“Berhubung kes dera yang tular membabitkan seorang lelaki berkerusi roda berusia 60-an sehingga menyebabkan kematian, pihak polis menahan seorang lelaki dan tiga wanita semalam.
“Polis memohon perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek di Mahkamah Majistret Seremban pagi ini dan dibenarkan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 November depan,” katanya memetik Buletin TV3.
Mohd Yatim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mengulas punca kematian lelaki warga emas berkenaan, beliau berkata, laporan bedah siasat masih belum diperoleh setakat ini.
“Bedah siasat dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, pagi tadi dan saya difahamkan sehingga kini (jam 12 tengah hari) ia masih berjalan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang tular itu, sebaliknya memberi ruang kepada polis untuk melengkapkan siasatan.
Semalam, media melaporkan polis membuka siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga emas yang didakwa dipukul di sebuah rumah pangsa di Rasah Jaya sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, polis menerima laporan pada jam 10 pagi semalam berhubung satu video kejadian yang tular di aplikasi TikTok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













