BERITA SEMASA

Warga emas jadi korban terbaharu rabies di Sarawak

KUALA LUMPUR – Sarawak merekodkan satu lagi kematian akibat rabies melibatkan seorang lelaki warga emas dari Bintulu, sekali gus menjadikan jumlah kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia meningkat kepada empat kes setakat tahun ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa berusia 63 tahun meninggal dunia pada 3 Mei lalu selepas disahkan dijangkiti virus rabies.

JKNS berkata, mangsa mempunyai sejarah digigit seekor anak anjing pada pertengahan Februari lalu, namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

“Mangsa hanya mencuci luka dengan air kurang daripada lima minit sebelum pulang ke rumah tanpa mendapatkan suntikan vaksin atau rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Difahamkan, warga emas berkenaan mula mengalami simptom seperti kelemahan anggota badan serta takut atau enggan minum air pada 26 April lalu sebelum dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

Ujian makmal kemudian mengesahkan mangsa dijangkiti rabies.

Jabatan itu berkata, hasil siasatan mendapati faktor utama yang menyumbang kepada jangkitan ialah kelewatan mendapatkan rawatan selepas digigit haiwan.

“Anjing yang menggigit mangsa juga tidak pernah menerima vaksin dan status jangkitan rabies haiwan tersebut tidak dapat dipastikan,” katanya lagi.

Sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada Julai 2017, sebanyak 94 kes rabies dalam kalangan manusia direkodkan dengan 87 daripadanya membawa maut.

“Ini menjadikan kadar kematian akibat penyakit tersebut mencecah 92.6 peratus,” katanya lagi.

Orang ramai turut diingatkan bahawa virus rabies boleh merebak melalui gigitan, cakaran atau pendedahan kepada air liur haiwan mamalia yang dijangkiti, khususnya anjing dan kucing.

Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak mengendalikan bangkai haiwan yang mati tanpa diketahui punca kematian dan segera melaporkan sebarang kejadian kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button