BERITA SEMASADALAM NEGERI

Sarawak rekod satu lagi kematian akibat rabies

KUCHING – Sarawak merekodkan satu lagi kematian akibat rabies atau penyakit anjing gila dengan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menjadi mangsa terbaharu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan mangsa yang berasal dari Kuching meninggal dunia Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 18 Mac lalu.

“Mangsa mempunyai sejarah digigit anjing liar pada 11 Februari lalu, namun hanya mencuci luka dan tidak mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa mula menunjukkan gejala seperti kurang selera makan, muntah dan hidrofobia pada 11 Mac lalu. Dia kemudian dibawa ke sebuah klinik pada 13 Mac seterusnya dirujuk ke HUS hari yang sama,” menurut kenyataan itu.

Rabies atau dikenali sebagai anjing gila, adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus rabies.

Penyakit ini kebiasaannya disebarkan melalui gigitan, cakaran, atau calitan air liur haiwan yang dijangkiti pada luka. Rabies boleh menjangkiti semua mamalia, termasuk manusia.

Menurut kenyataan itu lagi, ujian makmal mengesahkan mangsa dijangkiti rabies sebelum meninggal dunia 18 Mac lalu, sekali gus menjadikan jumlah kes rabies di Sarawak tahun ini kepada tiga.

Sehingga kini, sebanyak 93 kes rabies kalangan manusia dikesan sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017 dengan 86 daripada jumlah itu membabitkan kematian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button