SPR mula pamer notis cadangan tambah kawasan, tukar nama kawasan pilihan raya di Sarawak
KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mula mempamerkan notis cadangan bagi menambah kawasan pilihan raya baharu dan pertukaran nama kawasan pilihan raya di Sarawak.
Notis berkenaan dipamerkan hingga 30 Sept di beberapa pejabat daerah di seluruh Sarawak bagi membolehkan orang ramai mengemukakan bantahan terhadap cadangan berkenaan.
Notis itu juga disiarkan dalam akhbar tempatan Utusan Borneo dan Borneo Post, hari ini.
Menurut notis itu, SPR, mengikut kehendak Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan telah mengkaji semula pembahagian negeri Sarawak kepada bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan bahagian-bahagian pilihan raya negeri.
Hasil kajian itu, sebanyak 17 kawasan pilihan raya negeri baharu telah dicadangkan, manakala 10 lagi dicadangkan untuk ditukar nama.
Selain itu, terdapat satu kawasan pilihan raya Persekutuan dalam negeri Sarawak dicadangkan untuk ditukar nama.
Sebanyak 17 kawasan pilihan raya negeri baharu yang dicadangkan ialah Jagoi, Pasir Pandak, Matang, Semarak, Tabuan Jaya, Maong, Samarindah, Sungai Serin, Igan, Tanah Mas, Sungai Merah, Bukit Kemuyang, Melekun, Batu Niah, Permaisuri, Tudan dan Usun Apau.
Sementara itu, sebanyak 10 kawasan pilihan raya negeri yang dicadangkan untuk ditukar nama ialah Serayan (nama sebelum ini Opar), Singai (sebelum ini Tasik Biru), Bung Sadung (sebelum ini Tarat), Muara Lassa (sebelum ini Semop), Matu (sebelum ini Jemoreng), Rassau (sebelum ini Bawang Assan), Jepak Jaya (sebelum ini Jepak), Pantai Beraya (sebelum ini Lambir), Lopeng (sebelum ini Senadin) dan Gunong Murud (sebelum ini Ba’kelalan).
Kawasan pilihan raya Persekutuan atau Parlimen yang dicadangkan untuk ditukar nama pula ialah Batang Lassa, yang sebelum ini dikenali sebagai Igan.
Pada Julai tahun lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 untuk menambah 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99 kerusi.
Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ketika ini adalah sebanyak 82.
Mandat Kerajaan Negeri Sarawak akan tamat pada Februari 2027. – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








