PENDAPATRENCANA

Mengukuh Integriti, Memacu Reformasi: Ketelusan perlu disusuli tindakan

PENDEDAHAN Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berhubung 568 tangkapan berkaitan rasuah sepanjang tahun 2024 merupakan satu perkembangan penting dalam usaha memperkukuh integriti perkhidmatan awam.

Angka tersebut sememangnya menuntut perhatian serius, namun keterbukaan dalam mengetengahkan isu ini juga memperlihatkan kepentingan ketelusan dalam tadbir urus negara.

Pendedahan sedemikian membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami cabaran yang dihadapi, di samping melihat usaha penguatkuasaan dan pembaharuan yang dilaksanakan bagi menanganinya.

Penguatkuasaan Adil Asas Keyakinan Rakyat
Usaha membanteras rasuah memerlukan penguatkuasaan yang tegas, adil dan konsisten. Prinsip ini penting bagi memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa ditangani berlandaskan undang-undang, tanpa mengira jawatan atau kedudukan individu yang terlibat.

Dalam hal ini, siasatan yang teliti, pendakwaan berdasarkan bukti yang mencukupi serta proses pengadilan yang adil merupakan asas penting dalam menegakkan keadilan. Tangkapan juga tidak bermakna seseorang individu telah disabitkan bersalah. Apabila prinsip undang-undang dipatuhi dan tindakan dilaksanakan secara saksama, keyakinan masyarakat terhadap institusi awam dapat terus diperkukuh.

Sumbangan Majoriti Penjawat Awam Tidak Wajar Diketepikan
Perbincangan mengenai rasuah juga perlu mengambil kira gambaran keseluruhan perkhidmatan awam. Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kira-kira 1.49 juta jawatan telah diisi. Sebagai perbandingan angka, 568 tangkapan berkaitan rasuah yang dilaporkan sepanjang tahun 2024 bersamaan sekitar 0.038% daripada jumlah tersebut, dengan perbezaan melebihi 99.9%.

Bukan hendak menidakkan salahlaku rasuah, perbandingan angka ini memberikan gambaran tentang skala angka yang dilaporkan, meskipun ia bukan ukuran tahap integriti individu. Dalam menilai isu rasuah, sumbangan besar penjawat awam yang terus menjalankan tanggungjawab dengan jujur, cekap dan penuh dedikasi juga wajar diberikan perhatian.

NACS 2024–2028 Memperkukuh Asas Tadbir Urus
Dalam usaha memperkukuh integriti secara menyeluruh, Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 menyediakan kerangka penting bagi menambah baik tadbir urus dan memperkukuh langkah pencegahan rasuah. Strategi ini mencerminkan keperluan untuk menangani isu rasuah bukan sahaja melalui tindakan penguatkuasaan, tetapi juga menerusi pembaharuan sistem pentadbiran.

Antara aspek yang mempunyai kepentingan besar ialah penggunaan teknologi digital dalam urusan perolehan awam. Proses yang lebih telus dan mudah dipantau dapat membantu mengurangkan risiko campur tangan yang tidak wajar, selain meningkatkan akauntabiliti dalam pengurusan sumber awam.

Penguatkuasaan yang adil dan konsisten pula perlu disokong oleh kepimpinan yang bertanggungjawab di setiap peringkat jabatan. Peranan ketua jabatan dalam memperkukuh kawalan dalaman, memantau risiko serta membudayakan amalan kerja berintegriti merupakan antara faktor penting dalam memastikan keberkesanan usaha pencegahan rasuah.

Tidak kurang pentingnya ialah perlindungan terhadap pemberi maklumat. Saluran aduan yang selamat dan mekanisme perlindungan yang berkesan dapat menggalakkan kerjasama masyarakat serta penjawat awam dalam melaporkan salah laku. Kesemua aspek ini saling melengkapi dalam membentuk sistem pentadbiran yang lebih telus, bertanggungjawab dan diyakini.

Integriti dan Amanah Asas Perkhidmatan Awam
Usaha memperkukuh integriti tidak terhad kepada penguatkuasaan undang-undang atau pelaksanaan dasar semata-mata. Ia turut bergantung pada nilai amanah, kecekapan dan tanggungjawab yang diamalkan oleh setiap individu dalam melaksanakan tugas.

Dalam konteks ini, prinsip pemilihan individu yang berkeupayaan dan boleh dipercayai turut ditegaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Qasas, ayat 26:

“…sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai (amanah).”

Prinsip kecekapan (al-qawiy) dan amanah (al-amin) memperlihatkan bahawa kemampuan melaksanakan tugas serta keutuhan peribadi merupakan dua nilai yang saling melengkapi. Kedua-duanya amat relevan dalam membentuk perkhidmatan awam yang profesional, berintegriti dan berorientasikan kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, usaha pembaharuan menerusi NACS 2024–2028, disokong oleh penguatkuasaan yang berkesan dan budaya kerja berintegriti, mempunyai peranan penting dalam memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi awam. Pada akhirnya, keutuhan perkhidmatan awam bukan sahaja terletak pada dasar yang dirangka, tetapi juga pada mutu penyampaian perkhidmatan dan manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat.

ARTIKEL OLEH:

ROSDI AMIR

ROSDI AMIR

Penulis merupakan Presiden Pertubuhan Asas Bina Negara (ASABINA)

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button