BERITA SEMASA

Jangan gadai integriti demi kepentingan peribadi – Mohd Shuhaily

PUTRAJAYA – Anggota dan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) diingatkan supaya tidak terjerumus dengan sifat tamak sehingga sanggup menggadaikan integriti diri serta mengetepikan kepentingan negara.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, peringatan itu perlu diambil serius dengan menjadikan pengajaran sejarah Melayu sebagai iktibar termasuk kisah Hikayat Hang Nadim yang menggambarkan bagaimana keutuhan Kota Melaka akhirnya runtuh akibat pembelotan dari dalam.

Beliau berkata, sejarah juga merekodkan bagaimana pembesar Melayu pernah mendapatkan sokongan kapitan Cina dalam perebutan kuasa, sekali gus membuka ruang kepada kejatuhan kerajaan.

“Kalau dulu kumpulan kongsi gelap diketuai kapitan masing-masing, sekarang sindiket penyeludupan lebih sukar dikesan kerana mereka cukup licik dan pandai menyelinap masuk ke dalam sistem pentadbiran negara.

“Justeru, jangan ulangi kesilapan sama dalam sejarah kerajaan Melayu lama dan dalam konteks moden hari ini, jangan dagangkan tanah air kita Malaysia kepada anasir luar hanya kerana ketamakan sendiri.

“Tanah air ini pernah rebah dan hilang kesultanan yang dunia segani dulu. Ada sembilan lagi waris kesultanan Melayu yang harus kita jaga demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada anggota dan pegawai AKPS di sini, hari ini.

Menurut Mohd Shuhaily, sifat tamak merupakan punca kepada keruntuhan sahsiah diri yang akhirnya membawa kepada tindakan menjual maruah, jiwa dan negara.

Beliau berkata, pelbagai kepincangan yang dilaporkan media massa kebanyakannya berpunca daripada ketamakan segelintir pihak.

Sehubungan itu, katanya, semua anggota AKPS perlu menjauhi sifat tersebut dan sentiasa bersyukur dengan rezeki serta amanah yang dipinjamkan Allah.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily mengakui proses pengambilalihan 98 lagi pintu masuk negara yang melibatkan sumber manusia serta aset memberikan tekanan besar kepada pasukannya, khususnya anggota yang bertugas di lapangan.

Beliau turut menyedari cabaran dalaman apabila sebahagian anggota AKPS yang berasal daripada pelbagai agensi lain masih mempunyai keterikatan emosi terhadap agensi asal masing-masing, meskipun sudah diarahkan berkhidmat di bawah AKPS.

“Mereka mungkin bimbang dengan masa depan masing-masing, apatah lagi dipaksa bekerja dengan ketua yang dianggap paling ‘cengey’ (garang) dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mungkin juga ketua dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Sebenarnya saya juga penjawat awam yang diamanahkan untuk melaksanakan hasrat kerajaan, yang difikirkan perlu demi kedaulatan dan masa depan negara yang lebih baik serta terjamin.

“Jadi, sebagai ketua, tanggungjawab saya lebih berat dan mencabar dalam memohon anda semua daripada enam organisasi, mengabdikan diri kepada satu agensi yang asing lagi baharu (AKPS) ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button