AKPS tahan enam kontena bawa buangan terjadual di Pelabuhan Klang
KLANG – Sebanyak enam kontena yang dikesan membawa buangan terjadual (e-waste) dianggarkan seberat 225,597 kilogram (kg) ditahan di Pelabuhan Klang Barat, kira-kira jam 5 petang semalam.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, penemuan itu hasil pemeriksaan ke atas sembilan kontena menerusi operasi bersepadu pelbagai agensi yang diketuai Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
“Enam kontena yang membawa dagangan tersenarai sebagai larangan mengimport mengikut AktaKualiti Alam Sekitar telah ditahan.
“Lima kontena membawa e-waste antaranya papan litar, fius, fius industri dan tembaga manakala sebuah lagi kontena membawa wayar kuprum yang mana keseluruhan berat dagangan ini kira-kira 225,597 kilogram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kontena-kontena berkenaan akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tujuan re-export.
“AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang dan memperkukuh kawalan serta penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Selasa lalu, AKPS Pelabuhan Klang bersama agensi berkaitan menahan lima kontena yang membawa buangan terjadual (e-waste) dan sampah industri serta komersil yang dianggarkan seberat 125,037 kilogram.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








